X Close

Tiga sarang maksiat di Temerloh dikenalpasti

Diterbitkan: Rabu 11 Jan, 2006

TEMERLOH: Tiga kawasan di bandar ini dikenal pasti menjadi tempat golongan mudamudi termasuk remaja belasan tahun melakukan kegiatan tidak bermoral dan maksiat.

Kawasan berkenaan ialah Taman Reakrasi Bandar Temerloh, bangunan Plaza Temerloh dan kawasan tepi sungai di kampung Rakit.

Anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Semantan Md Hamdan Sudin berkata beliau menerima banyak aduan daripada orang awam dan pemimpin setempat berhubung kegiatan berkenaan yang disifatkan semakin berleluasa.

"Kita berharap pihak berkuasa Jabatan Agama Islam Temerloh serta Majlis Bandaran Temerloh ambil tindakan segera," katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Katanya, berdasarkan aduan orang ramai, golongan terbabit tidak segan silu bercumbu di kawasan berkenaan malah ada yang melakukan hubungan seks di taman dan tepi sungai berkenaan.

"Ibu bapa sepatutnya memantau anakanak mereka yang keluar malam, malah ada aduan orang ramai mengatakan ada aktiviti kurang sihat di plaza Temerloh, di mana gadis-gadis muda "berurus niaga" di waktu malam dengan pemandu-pemandu kereta yang melalui kawasan berkenaan," katanya.

Beliau berharap pihak berkuasa memasang lampu di kawasan berkenaan kerana banyak lampu yang sudah rosak.

Sementara itu, penghulu Kampung Buntut Pulau, kira-kira 3km dari bandar ini, Zakaria Long Kassim berkata beliau sudah beberapa kali mengemukakan aduan berhubung perkara itu kepada Jabatan Agama Islam Temerloh.

"Jawapannya, jabatan berkenaan hanya ada seorang pegawai penguatkuasa," katanya.

Imam Masjid Temerloh, Abdul Manaf Taib berkata semua pihak termasuk ibu bapa, polis dan masyarakat setempat perlu bekerjasama dalam membendung perbuatan tidak bermoral itu.

"Kalau kita biarkan, ianya akan terus berleluasa, menghancurkan akidah mudamudi kita, semua yang terlibat itu saya yakin mudamudi Melayu," katanya. BERNAMA

iklan

iklan

Iklan