X Close

Rosyam "hero tua" tetap laku

Diterbitkan: Rabu 28 Dis, 2005

Antara Pelakon "Bollywood" Melayu, Pelakon "Biskut" dan Hero Tua

Siapa kata pelakon tampan Rosyam Nor, yang sedang meniti usia 40an ini tidak boleh dikritik? Apa saja gelaran yang diberi kepadanya seperti pelakon biskut, hero tua atau pelakon Bollywood Melayu semuanya diambil positif.

"Saya anggap semua ini sebagai gurauan dan bukan sebagai satu kritikan. Mungkin mereka bangga dengan saya sebab itu mereka letak saya di tahap begitu," kata Rosyam Nor yang mula menceburkan diri dalam bidang bidang lakonan pada tahun 1996.

Tambahnya lagi, "kalau orang panggil saya pelakon "biskut". Itu maknanya orang lihat iklan biskut Castello saya. Kalau tidak ingat, susah juga tu."

Menurut Rosyam lagi, dia menerima semua kritik dengan hati dan minda yang terbuka "kecuali kritik yang tidak membina. Setidak-tidaknya kritik sebagai satu tunjuk arah sejauh mana pencapaian kita selama ini. Dulu sewaktu saya kalah dengan Zamarul Hisham untuk Pelakon Terbaik, saya dapat menerima kekalahan itu. Saya tidak ada masalah."

Kini sudah hampir 10 tahun, pelakon berusia 38 tahun ini masih mampu membawa watak hero dalam semua filem lakonannya.

"Alhamdulillah, saya masih di sini lagi walapun sudah sekian lama. Saya mungkin dianggap hero tua kerana pesaing saya semuanya masih muda. Saya tidak bersaing dengan pelakon-pelakon angkatan saya. Saya rasa bangga peminat-peminat saya masih mahu saya berlakon watak hero dan saya anggap ini satu penghormatan," ujarnya lagi.

Kebelakangan ini Rosyam banyak membawa watak sedih seperti pelakon Bollywood di dalam drama TV?

"Saya melakonkan watak itu kerana itulah yang dimahukan oleh pihak stesen TV jadi saya terpaksa akur. Tetapi kalau untuk filem, saya melakonkan watak-watak seperti Castello, gangster dan sebagainya. Semua ini adalah untuk memuaskan semua orang," ujarnya lagi.

Berlakon adalah darah daging saya

Bermula dengan Gila-Gila Remaja, di ikuti dengan Suami, Isteri dan ...?, Lenjan, Berlari Ke Langit, KL Menjerit Pontianak Harum Sundal Malam dan seterusnya Laila Isabella, Gangster, KL Menjerit 1, MX3,Castello, Janji Diana, Gerak Khas The Movie II, Pontianak Harum Sundal Malam 2, Castello dan Bilut, dunia Rosyam hanyalah lakonan.

"Walaupun saya aktif dalam penerbitan drama, saya tetap utamakan bidang lakonan. Ini dah jadi darah daging saya. Saya tak dapat bayangkan apa akan jadi kalau saya berhenti berlakon satu hari nanti.

"Saya akan tetap berlakon selagi lakonan saya mendapat tempat di hati penonton kerana apa yang saya lakonkan adalah untuk tatatapan peminat saya, sekecil kuman pun saya tidak lakukan untuk diri saya. saya amat menyanjungi peminat-peminat saya kerana tanpa sokongan mereka, tidak mungkin saya akan dapat berada lama dalam industri ini sebab itu saya katakan saya sanggup lakukan apa saja untuk peminat saya," ujar Rosyam lagi.

Rosyam sejak 1998 hingga kini (The Star)

Menurut Rosyam, dia tidak pernah merasai kepuasan berlakon.

"Saya tidak mungkin akan rasa puas berlakon sampai bila-bila kerana apa yang saya hasilkan adalah untuk peminat saya jadi kepuasannya hanya peminat saja dapat nilaikan, saya tidak. Saya hanya hamba seni sekiranya orang puas, saya juga akan turut puas," kata pelakon nombor 1 negara ini.   

Castello

Filem pertama keluaran syarikat Rosyam Suhan Movies and Trading Sdn Bhd ini disifatkan sebagai filem terbaik dari pengarah filem Bada (Badaruddin Hj Azmi).

Ianya berkisar kepada cerita remaja yang bernama Solo (lakonan Rosyam Nor) yang dibesarkan di Sungai Golok. Solo berkahwin dengan seorang gadis Thai bernama Chalita (Erra Fazira).

Di saat Chalita hamil, Solo mula menjalankan kegiatan sebagai pengedar dadah untuk menjadikan kehidupan keluarganya lebih mewah.

Tapi Solo tertangkap dan dia dipenjara selama 20 tahun. Di dalam penjara, dia dikenali sebagai Castello. Apabila keluar dari penjara, Castello cuba mengesan semula isteri dan anaknya tetapi dia kecewa bila mengetahui anak gadisnya Phim (Liyana Jasmay) telah menjadi penagih dadah.

Castello berusaha untuk menyelamatkan Phim yang tidak menyedari bahawa Castello adalah bapanya. Satu hari Castello merampas duit Phim sewaktu gadis itu sedang berurusan untuk membeli dadah.

Kerana terlalu ketagih, di luar kesedaran Castello, Phim telah bertemu dengan pengedar dadah dan menceritakan masalah kewangannya.

Si pengedar berlagak baik dan memberi Phim dadah yang diperlukannya. Tapi di saat Phim sedang khayal, dia dirogol oleh konco-konco pengedar itu sebagai bayaran hutangnya kepada pengedar tersebut.

Castello 'naik gila' sebaik saja mengetahui kemusnahan hidup Phim. Dia berazam untuk membalas dendam. Tapi di saat sedang bergelut menuntut bela terhadap maruah anaknya yang telah tergadai, Chalita (isteri Castello) telah dibunuh oleh konco-konco pengedar itu. Castello mengamuk dan bertindak lebih gila.

Filem yang penuh dengan aksi lasak ini akan menemui penonton bermula pada  Januari di semua pawagam seluruh negara.

"Saya amat beruntung kerana mendapat kerjasama yang baik dari semua pelakon-pelakon muda seperti Liyana Jasmay, Que Haidar dan Zain Ruffedge yang melakonkan watak saya masa muda. Ramai orang kata wajah Zain ada iras-iras wajah saya," kata Rosyam lagi.

Rosyam akan meneruskan sekuel cerita Castello pada tahun 2006.

"Menurut perancangan, Insya Allah saya akan meneruskan cerita Castello Bahagian 2 dengan aksi yang lebih menarik dan mendebarkan," katanya.

Saling tak tumpah macam Nordin Ahmad

Bukan saja mirip wajah, malah lakonannya juga turut dibuat perbandingan dengan bintang lagenda Nordin Ahmad. Ramai sangat yang membuat perbandingan macam tu sampaikan Rosyam sendiri takut mendengar pujian itu.

"Terlalu jauh kalau nak dibandingkan dengan saya.  Saya masih banyak kekurangan lagi. Setiap kali saya diberi pujian begitu setiap kali saya rasa cukup tercabar kerana masa kan saya setaraf dengan bintang lagenda Nordin Ahmad," ujarnya lagi.
 


iklan

iklan

Iklan