X Close

Peranan saluran TV untuk agenda sosial negara

Diterbitkan: Isnin 26 Dis, 2005

KUALA LUMPUR: Bermula dengan siaran televisyen "hitam putih" menerusi Radion Televisyen Malaysia (RTM) lebih 42 tahun yang lepas, industri penyiaran negara kini berkembang pesat dengan lebih 100 saluran ditawarkan kepada penonton.

Kehadiran dua stesen TV berbayar baru, MiTV dan Fine TV bagi membantu memeriahkan industri itu, dilihat memberikan lebih pilihan kepada 5.5 juta isi rumah sekaligus memecahkan monopoli Astro yang menawarkan 51 saluran TV kepada pelanggannya sebelum ini.

MiTV milik MiTV Corporation Sdn Bhd yang menawarkan 41 saluran dan dijangka menambah kepada sekurang-kurangnya 50 saluran TV lagi tahun depan manakala Fine TV milik Network Guidance Sdn Bhd akan menawarkan 18 saluran TV sebagai permulaan apabila beroperasi minggu ini.

Astro milik tokoh konglomerat, Tan Sri T.Ananda Krishnan, dilaporkan merancang untuk menambah 50 saluran lagi selepas satelit Measat 3 dilancarkan kelak, satu tindakan yang disifatkan pemerhati industri sebagai strategi untuk menyaingi MiTV milik Tan Sri Vincent Tan.

Ini menjadikan keseluruhan 169 saluran TV bakal menemui lebih 25 juta rakyat negara ini pada tahun depan termasuk enam saluran stesen TV percuma iaitu TV1 (RTM), TV2 (RTM), TV3, NTV7, CH9 dan 8TV.

Penganalisis industri berpendapat walaupun industri penyiaran sudah berada pada tahap tepu memandangkan setiap program yang hendak ditonton sudah ditawarkan stesen TV percuma namun masih terdapat ruang pasaran bagi stesen TV berbayar memandangkan jumlah pelanggan Astro bagi kategori kediaman sehingga Julai 2005 ialah 1.7 juta mewakili kadar penembusan pasaran 32.4 peratus.

Mereka juga menyifatkan perkembangan drastik industri itu sebagai petanda baik yang selari dengan hasrat Malaysia menjadi negara membangun sepenuhnya pada 2020.

Ini kerana lebih banyak syarikat produksi akan tumbuh dan memberi peluang pekerjaan kepada anak tempatan untuk menerbitkan program TV yang akan mengisi slot saluran TV yang meningkat mengikut keperluan dan kehendak penonton atau pelanggan masing-masing.

Bagaimanapun, beberapa perkara perlu diberikan perhatian oleh pemilik atau pembuat keputusan di stesen TV terbabit kerana televisyen merupakan entiti media berpengaruh yang akan memainkan peranan penting dalam mencorakkan identiti dan imej masyarakat negara ini di masa akan datang.

Penganalisis industri berpendapat terjemahan untuk merealisasikan "Bangsa Malaysia" perlu menjadi intipati yang perlu diambil kira selain faktor komersial atau keuntungan sebelum membawa masuk program TV atau filem-filem dari luar.

Prof Madya Dr Asiah Sarji dari Universiti Kebangsaan Malaysia berkata sekiranya pemilik atau pembuat keputusan stesen TV terutamanya stesen TV swasta memahami aspirasi dan hasrat kerajaan itu maka semua pihak akan mendapat manfaat daripada kemajuan industri itu.

"Berdasarkan kepada kepesatan teknologi semasa, kerajaan akan menghadapi masalah besar jika ia berlaku sebaliknya," katanya kepada Bernama.

Media Prima selaku gergasi media tempatan kini menguasai semua stesen TV percuma swasta iaitu TV3, NTV7, CH9 dan 8TV berbanding dua stesen TV milik kerajaan di bawah RTM iaitu TV1 dan TV2.

Kenyataan Asiah itu berhubung kait dengan kawalan dan penyeliaan terhadap kandungan programprogram TV yang disiarkan yang kini terletak di bawah tanggungjawab beberapa kementerian menjadikan industri itu "sedikit kelam kabut".

Penganalisis berpendapat Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) di bawah Kementerian Tenaga, Air dan Komunikasi yang bertanggungjawab untuk menentukan garis panduan dan memantau isi kandungan media penyiaran hanya sekadar menentukan garis panduan dan menjalankan kerja pemantauan sahaja.

Lembaga Penapisan Filem (LPF) di bawah Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri pula hanya berkuasa untuk menapis semua kandungan programprogram TV dan filem untuk siaran TV kerajaan dan swasta sahaja manakala Astro diberikan kuasa untuk mengendalikan sendiri sistem penapisan programnya.

Kementerian Penerangan yang dulunya berkuasa melalui Akta Penyiaran kini hanya bertanggungjawab kepada RTM selepas Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 digubal dan dipertanggungjawabkan kepada MCMC.

Pertindihan kuasa antara kementerian itu menimbulkan beberapa persoalan yang perlu diberikan perhatian oleh semua pihak, antaranya, adakah industri yang berkembang pesat itu mempunyai pelan tindakan yang menentukan kedudukan dan peranan media penyiaran pada 2020 dan adakah dengan 169 saluran TV itu masyarakat negara ini akan menjadi "Bangsa Malaysia" seperti yang diimpikan atau sebaliknya?

Pensyarah Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi Universiti Putra Malaysia Saiful Nujaimi Abdul Rahman berpendapat implikasi kehadiran saluran TV itu kepada masyarakat dan negara masih tidak boleh diramalkan.

Katanya berdasarkan prinsip asas komunikasi SMCR (Source, Message, Channel dan Receiver) implikasi itu banyak bergantung kepada faktor penerima dan keadaan sekeliling, yang ditentukan faktor lain seperti kestabilan politik, sosial dan keadaan ekonomi semasa.

Sambil memberi ingatan bahawa teknologi masa kini bergerak pantas dan sebaliknya berlaku kepada undang-undang yang bersifat responsif, kerajaan seharusnya mengkaji keperluan pelan tindakan yang jelas bagi industri itu.

Beberapa bulan lalu industri penyiaran hangat seketika dengan isu program TV realiti yang digambarkan beberapa tokoh akademik dan pemikir tempatan termasuk Prof Diraja Ungku Aziz dan Senator Datuk Jins Shamsuddin sebagai menggugat adat, budaya dan nilai ketimuran masyarakat negara ini.

Jawatankuasa Kabinet dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri bagi mengkaji "Peranan Dan tanggungjawab Sosial Stesen Penyiaran Sebagai Media Elektronik Untuk memajukan Agenda Rakyat, Kerajaan dan Negara Dalam Pembinaan Bangsa Malaysia Yang Terpuji" yang ditubuhkan ekoran isu berkenaan sedang merangka garis panduan kandungan program realiti bagi memastikan semua program realiti yang disiarkan mencermikan nilainilai murni dan agenda nasional.

Datuk Seri Najib Tun Razak pada 2 Ogos lalu ketika menyampaikan hasrat kerajaan berkata: "Stesen TV mesti mengambil kira hasrat kita untuk membina negara dan bangsa yang sesuai dengan cita rasa kita, yang mengikut kehendak dan acuan kita sendiri."

Persoalannya, mampukah 169 saluran TV itu menyokong agenda nasional negara? BERNAMA

iklan

iklan

Iklan