X Close

Kesesakan lalulintas di Pasir Mas akan berterusan

Diterbitkan: Rabu 14 Dis, 2005


Masalah kesesakan lalulintas di Pasir Mas akan berterusan selama setahun sebelum pembinaan jejantas dilaksanakan (Foto: Bernama)

KOTA BAHARU: Masalah kesesakan lalulintas di Pasir Mas ketika keretapi melalui bandar itu dijangka berterusan selama setahun lagi berikutan masalah pengambilan tanah bagi membolehkan pembinaan jejantas merintangi landasan keretapi.

Menteri Besar Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata projek pembinaan jejantas itu tetap akan diteruskan kerana ia telah diluluskan.

"Cuma ia memakan masa sedikit kerana proses pengambilan tanah lambat, paling cepat setahun", katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di Kota Darul Naim di sini, hari ini.

Kerajaan Kelantan pimpinan PAS meluluskan projek pembinaan lintasan keretapi bernilai RM13 juta bagi mengatasi kesesakan trafik di sekitar Pasir Mas selepas mesyuarat Exco yang dipengerusikan Nik Abdul Aziz pada 30 Nov lepas.

Pembinaan jejantas itu turut dimuatkan dalam janji pilihan raya kecil itu oleh PAS dan barisan Nasional (BN) bagi mengelak kesesakan lalu lintas ketika keretapi melalui bandar Pasir Mas setiap hari dengan Kerajaan Kelantan pimpinan Pas mengumumkan akan tetap membina jejantas sepanjang 99 meter itu.

Sebelum ini, Pengerusi Perhubungan BN Kelantan Datuk Seri Annuar Musa memberikan tempoh sehingga Jun tahun depan kepada Kerajaan Kelantan bagi melaksanakan projek itu dan sekiranya gagal, projek itu akan dibuat oleh BN.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Infrastruktur dan Kesihatan Kelantan Mej (B) Mohd Anizam Abdul Rahman yang mengumumkan keputusan itu pada 30 Nov lepas berkata projek jalan pintas atau alternatif sepanjang 99 meter dengan ketinggian tujuh meter itu akan mempunyai dua lorong dengan kelebaran 12 meter.

Projek itu dijangka siap dalam tempoh 36 bulan melalui peruntukan kerajaan negeri dalam usaha mengatasi kesesakan trafik di sekitar Pasir Mas terutama semasa musim cuti sekolah dan perayaan, katanya
Kerjakerja ukur sedang giat dijalankan dengan pelan reka bentuk jambatan konkrit itu dibuat oleh Jabatan Kerja Raya (JKR), katanya.

Cadangan projek itu telah lama dibuat demi faedah penduduk Pasir Mas sebagai tanda prihatin kerajaan negeri terhadap keperluan laluan alternatif berikutan kesesakan trafik berdekatan pasar apabila melalui landasan keretapi, katanya. BERNAMA

iklan

iklan

Iklan